MELAKA: Kemasukan percuma ke 13 destinasi pelancongan di negeri ini bersempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, semalam tetap meriah walaupun tidak sehebat tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai tidak lagi berpusu-pusu seperti tahun lalu yang menggamit kira-kira 150,000 pengunjung ke 11 lokasi pelancongan di Melaka.
Selain itu, kebanyakan pengunjung yang hadir di semua lokasi pelancongan majoritinya tinggal di negeri ini, namun ada juga dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Lokasi yang menjadi tumpuan adalah Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Zoo Melaka, Taman Tema Wonderland, A’ Famosa Water World, Muzium Penjara, Kompleks Air Panas Gadek, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Air Panas Cherana Putih, Melaka River Park, Kompleks Kraf Melaka dan lima kelab golf.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, setakat pukul 12 tengah hari, seramai 7,900 pengunjung hadir di Zoo Melaka sejak dibuka pada pukul 9 pagi.
Katanya, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sebelum ditutup pada pukul 4 petang.
“Tahun lalu kita menerima pengunjung seramai 30,510 jauh lebih ramai berbanding tahun ini, mungkin ini disebabkan cuti umum hanya di Melaka tetapi kita ada juga menerima pengunjung dari Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancong, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman membuat lawatan di Zoo Melaka serta bertemu dengan orang ramai.
Setakat pukul 12 tengah hari, lebih 30,000 pengunjung direkodkan hadir di 13 lokasi pelancongan dengan Zoo Melaka mencatat kehadiran paling ramai sebanyak 7,900 orang diikuti Taman Tema Melaka Wonderland (4,195), muzium-muzium di bawah Perzim (3,502), MRC (2,016), A’ Famosa Water World (2,000) dan Menara Taming Sari (1,407).
Muzim Penjara pula mencatatkan kehadiran 1,047 pengunjung diikuti Kompleks Air Panas Gadek (1,042), Balai Cerap Al-Khawarizmi (690), Air Panas Cherana Putih (225), Kompleks Kraf Melaka (382), lima kelab golf (464), Melaka River Park (357) dan Eco Cruise Sungai Linggi (51).
Pengunjung, Zaharah Abdul Ghani dari Jengka, Pahang berkata, dia sampai ke Melaka kira-kira pukul 3 pagi dan terus menunggu di pekarangan Menara Taming Sari.
“Bila dapat tahu masuk percuma ditawarkan saya sekeluarga bertolak dari rumah pukul 12 tengah malam tadi. Seronok dapat datang ke Melaka, apatah lagi dapat naik Menara Taming Sari secara percuma,” katanya. – UTUSAN