Hari Cuci Malaysia pada Sabtu terakhir bulan September

Hari Cuci Malaysia pada Sabtu terakhir bulan September

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari Sabtu terakhir setiap bulan September diisytiharkan sebagai Hari Cuci Malaysia bagi menangani isu pencemaran sisa dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pembersihan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penetapan hari tersebut telah dipersetujui Jemaah Menteri dan akan diterajui oleh kementeriannya di seluruh negara.

Katanya, bagi penganjuran tahun ini, kementerian itu menyasarkan penyertaan 100,000 peserta termasuk pembabitan murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

“Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan dengan pendekatan secara menyeluruh (whole of nation) membabitkan kementerian, jabatan, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan tempatan, institusi pendidikan serta badan swasta mengikut kesesuaian dan kapasiti masing-masing.

“Ia selaras dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 20 September sebagai Hari Pembersihan Sedunia bagi menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembersihan awam,” katanya dalam kenyataan.

Kor Ming berkata, melalui inisiatif ini, kerajaan berhasrat menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang bersih dan aman, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia.

“Ia penting supaya kita dapat terus menawan hati pelancong dari seluruh dunia, apatah lagi Malaysia kini menjadi antara destinasi pelancongan pilihan utama,” jelasnya.

Beliau turut mengimbas kejayaan Hari Cuci Malaysia tahun lepas yang mencatatkan tiga rekod nasional baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menarik 58,007 peserta di seluruh negara.

Selain itu, program tersebut juga mencatat kutipan sisa pepejal terbanyak dalam masa sehari iaitu 4,645.5 tan metrik dan aktiviti gotong-royong paling lama selama 12 jam.

Kor Ming berkata, sasaran penyertaan 100,000 orang, termasuk murid sekolah bertujuan mendidik generasi muda mengenai kepentingan amalan kebersihan awam.

“Melalui penyertaan ini, kita mahu budaya mengamalkan kebersihan yang amat penting ini dididik kepada anak-anak sejak kecil bagi menjaga kebersihan awam bersama-sama.

“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya