Harga lantai padi stabilkan harga beras - Utusan Malaysia

Harga lantai padi stabilkan harga beras

SHAM Mat Sahat (dua dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan bencana tanaman padi kepada pesawah di Bagan Serai kelmarin. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak menyambut baik harga lantai belian padi yang diselaraskan pada kadar RM1,500 per tan.

Pengerusinya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, keputusan itu sudah pasti dibuat selepas kajian menyeluruh yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk kestabilan harga beras di pasaran.

Menurutnya, Persatuan Pesawah Malaysia mencadangkan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan namun kerajaan berpendapat kenaikan sehingga tahap tersebut berpotensi meningkatkan kos lain dalam rantaian pengeluaran padi.

“Saya berpendapat harga lantai belian padi RM1,500 per tan yang diumumkan kerajaan sudah memadai buat masa ini kerana ia turut disertai dengan kawalan harga dan pelbagai subsidi tambahan.

“Persatuan Pesawah masih boleh terus menuntut kenaikan pada masa akan datang jika perlu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini kelmarin.

Sham berkata, sebelum ini harga lantai belian padi ialah RM1,300 per tan namun terdapat pengilang swasta yang membeli sehingga RM1,800 per tan.

Menurutnya, ini menyebabkan peningkatan harga beras di pasaran dan menimbulkan ru­ngutan para pengguna.

“Dengan pelarasan kadar baharu ini, kerajaan yakin harga beras dapat dikawal dengan lebih baik.

“Namun begitu, terdapat jangkaan pengilang swasta mungkin akan menawarkan harga belian lebih tinggi, mungkin sehingga RM2,000 per tan bagi mendapatkan bekalan padi.” katanya.

Sementara itu, pada majlis Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Tanaman Padi (TBTP) itu, sebanyak RM813,081 diperuntukkan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada 702 pesawah di negeri ini yang terkesan akibat kemarau dan banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya