PETALING JAYA: Kenaikan harga lantai belian padi baharu dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran serta meningkatkan pendapatan, sekali gus memberikan penyelesaian ‘menang-menang’ kepada semua pihak dalam industri padi dan beras.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata, Kerajaan Madani telah memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini untuk mengekalkan harga jualan Beras Putih Tempatan (BPT).
Melalui inisiatif ini, sebanyak 24 juta kampit BPT dengan berat 10 kilogram (berharga RM26.00 setiap satu) akan mula dipasarkan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Walaupun industri padi dan beras negara berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, kenaikan kos dan ketidaktentuan geopolitik dunia, Kerajaan Madani komited untuk menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat.
“Usaha ini dilaksanakan untuk mengimbangi kepentingan semua pihak dalam rantaian industri padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut MADA, langkah menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan yang berkuat kuasa Ahad ini diyakini mampu memperkukuh kestabilan industri padi dan beras negara serta memberikan manfaat kepada pesawah dan pengguna.
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan Madani telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian bagi meringankan beban mereka serta memperkasakan pengeluaran padi.
Selain itu, MADA turut menyeru semua pihak untuk mengetepikan perbezaan dan perbalahan serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan dalam menangani kos pengeluaran yang semakin meningkat, sekali gus memberikan kelegaan kepada pesawah yang terkesan dengan kenaikan harga input pertanian dan cabaran ekonomi global,” katanya. – UTUSAN