KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang bermula Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian termasuk baja dan racun serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.
“Sukacita saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak kementerian pada masa ini sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan di dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut akan mengekalkan Beras Putih Tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Katanya, ini bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sekitar 24 juta kampit 10 kilogram di pasaran.
“Berhubung perkara ini, kementerian sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian pada 27 februari di Kedah pada 27 Februari ini.
“Projek ini akan menyokong Program Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun yang menelan belanja sekitar RM1 bilion,” ujarnya.-UTUSAN