Harga baharu sebelum menuai

Harga baharu sebelum menuai

KERAJAAN akan mengumumkan harga lantai padi minggu depan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesawah di Kedah menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menetapkan harga lantai belian padi baharu dijangka minggu depan, yang disifatkan tepat pada masanya sebelum musim menuai di kebanyakan sawah bermula.

Langkah itu diharapkan dapat memberikan kelegaan ekoran sudah terlalu lama berdepan dengan isu harga padi yang tidak stabil dan kos operasi semakin meningkat.

Petani, Azman Ahmad, 54, berkata, pengumuman harga baharu diharap membantu mening­katkan pendapatan mereka selain memastikan kelang­sungan industri padi negara.

“Kami sebagai petani rasa seperti ditindas apabila terpaksa tanggung kos pengeluaran yang semakin meningkat sedangkan harga belian padi semakin turun sebelum ini.

“Dengan pengumuman terbaharu ini, kita harap sangat agar harganya relevan dengan ke­adaan semasa dan tidak ha­nya naik RM100 seperti pernah dinaikkan pada belanjawan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, harga lantai belian padi ditetapkan pada kadar RM1,200 per tan metrik sejak 2014 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngumumkan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik.

Namun, ramai pesawah berpendapat bahawa kenaikan tersebut masih belum mencu­kupi untuk menampung kos operasi yang semakin tinggi.

Dalam pengumuman di Dewan Rakyat semalam, Anwar berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengumumkan kenaikan harga lantai padi yang munasabah tanpa perlu membebankan pengguna.

Perdana Menteri berkata, ia susulan hasil perbincangan yang diadakan bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan keseimbangan harga dalam pasaran beras tempatan.

Dalam pada itu, pesawah di Perlis, Mohd. Noor Hashim, 62, berkata, rintihan pesawah yang semenangnya sangat terkesan ketika ini akhirnya mendapat perhatian kerajaan dan ia perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Katanya, para pesawah juga berharap agar tuntutan kenaikan kepada RM1,800 per tan metrik itu dilaksanakan bersesuaian dengan situasi semasa, yang mana kos tanaman terus meningkat.

Katanya, kos mengusahakan tanaman padi ketika ini sangat tinggi sehingga mence­cah RM2,038 untuk keluasan 0.3 hektar dan pesawah yang menyewa pula akan lebih terkesan.

“Alhamdulillah, akhirnya kerajaan mendengar rintihan pesawah ini. Harga RM1,800 dan dicampur dengan subsidi RM500 iaitu RM2,300 per tan akan membolehkan pesawah mendapat pendapatan yang lebih berbaloi.

“Kita juga meminta kerajaan segera melaksanakan memandangkan pesawah ketika ini sedang mula rancak menuai hasil. Jika musim ini, masih dibeli dengan harga RM1,300, kami pesawah bakal berdepan kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya