PONTIAN: Tindakan Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) yang mendakwa pilihan raya mengejut akan diadakan pada tahun ini sebagai helah untuk kekal relevan di mata penyokong mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Bersatu berdepan masalah untuk kekal bertahan dan relevan berikutan tidak mempunyai daya tahan sebagai sebuah parti politik.
Katanya, ia menyebabkan Bersatu terpaksa mencipta isu untuk terus bertahan dan relevan dalam memastikan penyokong mereka terus setia.
“Saya kira punca Bersatu kata ada pilihan raya (pilihan raya umum) mengejut kerana mungkin kerana mereka (parti) sukar untuk terus bertahan.
“Saya beri analogi begini, mereka (Bersatu) hanya mampu lari 100 meter dan tak mampu lari maraton dalam tempoh panjang.
“Tidak seperti kita (UMNO) yang boleh sahaja berlari maraton (terus bertahan). Maknanya mereka (Bersatu ) tak mampu bertahan seperti parti lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pontian, di sini, hari ini.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata parti itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku pilihan raya umum (PRU) mengejut atau snap election hujung tahun ini sebagaimana ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti digerakkan.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat berkata, tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan mengadakan pilihan raya mengejut pada penghujung tahun ini .
“Mengikut kebiasaan dan pengalaman lalu, PRU atau pilihan raya negeri (PRN) diadakan selepas tempoh penggal pentadbiran hampir matang atau tamat.
“Kebanyakan pilihan raya diadakan di negara kita mengikut tempoh dalam masa antara empat ke lima tahun sebelum tempoh matang.
“Banyak dasar diperkenal Kerajaan Perpaduan di peringkat awal dan hasil dasar itu biasanya mengambil masa antara tiga ke empat tahun, barulah ada kesan merata kepada rakyat dan dirasai masyarakat,” katanya. – UTUSAN