IPOH: Hanya 86 aduan dan maklumat berkaitan rasuah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sepanjang tahun lalu.
Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan dengan 1.28 peratus daripada 6,696 jumlah keseluruhan aduan dan maklumat yang diterima membabitkan warga PDRM.
Katanya, meskipun jumlah itu disifatkan kecil namun statistik bagi kategori rasuah begitu mengesankan PDRM.
“JIPS membahagikan aduan dan maklumat yang diterima ini kepada empat kategori iaitu integriti, tatakelola, rasuah dan umum.
“Jika dibandingkan dengan kekuatan semasa PDRM (beruniform) iaitu sekitar 125,000 orang dalam satu-satu masa, jumlah aduan dan maklumat berkaitan rasuah adalah sekitar 0.07 peratus.
“Bagaimanapun perlu diingat, isu rasuah telah memberi kesan mendalam kepada persepsi rasuah dalam PDRM. Oleh itu, usaha menangani rasuah dan persepsinya perlu dibuat dengan lebih agresif,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.
Terdahulu, Azri menyaksikan serah tugas antara Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat dengan Ketua Polis Perak yang baharu, Datuk Noor Hisam Nordin berkuat kuasa hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,105 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,498 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) dibuka berbanding 2,150 KST dan 1,643 KET direkodkan pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah itu mencatatkan penurunan di mana ia diharap memberi petanda bahawa apa yang telah diusahakan untuk menangani dan mengawal disiplin serta tingkah laku warga PDRM memberi kesan seperti diharapkan.
“Dalam usaha memantau, mencegah dan menguatkuasa undang-undang, peraturan dan arahan, JIPS telah melaksanakan sebanyak 593,553 pemeriksaan pematuhan
di seluruh negara dan mengesan lebih 5,313 kelemahan petugas di lapangan sepanjang tahun lalu.
“Bagi tempoh sama juga, Cawangan Risikan dan Operasi JIPS telah melaksanakan tangkapan ke atas 133 orang pegawai polis di mana 50 orang melalui serbuan maklumat dadah dan daun ketum, 45 orang bagi kes pelacuran dan pusat hiburan selain 38 orang dalam serbuan bagi kes perjudian, pemerasan, hidup mewah dan hubungan intim,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun lalu juga, seramai 1,404 pegawai polis telah dikenakan tindakan tatatertib di mana 164 orang daripadanya dibuang kerja.
“Selain dibuang kerja, seramai 32 orang pegawai dan anggota diturunkan pangkat, turun gaji (15), tangguh pergerakan gaji (16), lucut hak emolumen (122), denda (256) dan amaran (799).
“Keputusan hukuman tatatertib yang tegas khasnya hukuman buang kerja ini menunjukkan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai polis yang tidak berdisiplin dan memudaratkan masyarakat, pasukan dan negara,” katanya. – UTUSAN