Hampir 9,000 buah sekolah laksana sistem satu sesi

Hampir 9,000 buah sekolah laksana sistem satu sesi

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir 9,000 buah sekolah di seluruh negara sudah mula menggunakan sistem satu sesi bagi meringankan beban yang digalas oleh guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehingga Disember lalu terdapat 8,997 buah sekolah atau 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di Malaysia telah melaksanakan sistem satu sesi.

Kata beliau, 1,238 buah sekolah atau 12.1 peratus diputuskan untuk kekal beroperasi dalam dua sesi bagi memastikan semua murid dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam keadaan selesa dan teratur tanpa menjejaskan akses dan kualiti pendidikan.

“Daripada segi keberkesanan dalam mengurangkan beban guru, Kementerian Pendidikan sudah mengambil langkah proaktif dengan memastikan bahawa keperluan perjawatan di sekolah diurus dengan baik.

“Bagi sekolah yang masih beroperasi dalam dua sesi, dua kumpulan guru yang berbeza ditempatkan bagi sesi pagi dan petang. Ini bertujuan untuk memastikan kelancaran pentadbiran serta PdP itu sendiri.

“Selain itu, perjawatan luar norma seperti Guru Penolong Kanan Petang turut diwujudkan bagi menyelaras pengoperasian sekolah sesi petang. Dengan langkah langkah ini, KPM sudah dapat memastikan isu beban tugas guru dapat dikawal dan diurus secara efektif di sekolah,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang memintanya menjelaskan sejauh mana ketersediaan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan sistem satu sesi persekolahan di seluruh negara serta keberkesanannya dalam mengurangkan bebanan guru.

Mengulas lanjut, Fadhlina mengakui bahawa terdapat cabaran dalam melaksanakan sistem satu sesi di beberapa sekolah luar bandar dan pedalaman akibat kekangan infrastruktur dan sumber tenaga pengajar.

Katanya, kementerian tidak akan sekali-kali mengambil pendekatan sama terhadap semua perkara, sebaliknya mempertimbangkan keperluan lokaliti sebelum melaksanakan sebarang perkara termasuklah mengenai sekolah yang tidak mampu melaksanakan satu sesi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Namun, sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi merealisasikan aspirasi ini, kementerian sedang giat merancang penyediaan infrastruktur bagi membolehkan lebih banyak sekolah beralih kepada sistem satu sesi.

“Sepanjang 2021 hingga 2025, sebanyak 261 buah sekolah sedang dalam proses pembinaan bangunan tambahan, manakala 103 buah sekolah baharu sedang dibina bagi menampung keperluan murid yang semakin meningkat.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang secara mampan dan inklusif,” katanya.

Dalam perkembangan berkai­tan, Fadhlina berkata, jumlah guru yang berkhidmat adalah seramai 416,194 orang, bersamaan dengan 96.16 peratus kadar pengisian sehingga 25 Janua­ri lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN