KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merekodkan hampir 250,000 kes kanser di negara ini dalam tempoh enam tahun iaitu dari 2017 hingga 2023.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kadar kematian akibat kanser meningkat daripada 13 peratus pada 2022 kepada 14 peratus pada 2023, menjadikannya penyebab kematian ketiga tertinggi di negara ini.
“Lima jenis kanser utama yang direkodkan ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, dan hati.
“Namun, di sebalik angka ini, masih ada harapan. Kejayaan dalam memerangi kanser bergantung kepada usaha kolektif kita dalam meningkatkan pencegahan, saringan awal, dan akses kepada rawatan.
“Inilah fokus utama kementerian dalam mereformasi sistem kesihatan negara,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 di Wisma Sejarah, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, dua memorandum persefahaman (MoU) dimeterai, melibatkan kerjasama dengan 22 rakan strategik dalam menangani cabaran kesihatan negara.
MoU Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan melibatkan lapan rakan strategik dalam usaha pencegahan, saringan, rawatan dan pemulihan kanser paru-paru.
Manakala MoU Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit Services Fasa 4) disertai 14 rakan kongsi untuk memperkukuh program berhenti merokok, iaitu langkah utama dalam pencegahan kanser paru-paru.
Dzulkefly pada majlis itu turut mengumumkan pelancaran Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan, yang menekankan pendekatan pencegahan dan saringan awal sebagai sebahagian daripada peralihan sistem kesihatan daripada model sick care kepada health care.
“Pertama, aspek pencegahan dan kesedaran yang memfokuskan kepada perbuatan merokok, pencemaran udara dan pendedahan pekerjaan.
“Kedua, saringan awal iaitu memperluaskan akses kepada ujian kanser paru-paru untuk pengesanan awal.
“Ketiga adalah rawatan dan pemulihan iaitu menambah baik akses kepada rawatan yang lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Selain kanser paru-paru, inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma, dan tuberkulosis bagi memastikan kesihatan paru-paru rakyat Malaysia lebih terjaga. – UTUSAN