Hampas padi bantu penternak kurangkan kos makanan ternakan

Hampas padi bantu penternak kurangkan kos makanan ternakan

MOHD. NAWI Mamat menunjukkan produk inovasi FRB untuk makanan haiwan ternakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peningkatan kos harga dedak bagi makanan haiwan ternakan mendorong seorang inovator bimbingan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menghasilkan produk daripada bahan buangan pertanian.

Mohd. Nawi Mamat, 58, berkata, produk inovasi dedak itu yang dinamakan Fermented Rice Bran (FRB) mengandungi pelbagai kandungan zat gizi bagi meningkatkan tumbesaran haiwan ternakan.

Katanya, rice bran atau dedak beras berasal daripada kulit ari padi iaitu lapisan luar daripada beras yang tersisih ketika proses pengilangan.

Dedak beras mengandungi kandungan zat gizi seperti protein, karbohidrat, lemak dan mineral seperti mangan, fosforus, magnesium, besi dan lain-lain sebagai tambahan khasiat dalam makanan haiwan.

“Peningkatan harga dedak bagi makanan ternakan di pasaran menjadi faktor utama FRB dicipta.

Rice bran ini ditapai de­ngan kehadiran bakteria effective microorganism dan juga molasses. FRB di campur ke dalam makanan haiwan dan diproses menjadi palet sebelum diberikan kepada haiwan ternakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anak kelahiran Tumpat Kelantan itu mula membangunkan dan memasarkan produk berkenaan sejak 2012 bersama dua anaknya sehingga pada 2022, beliau menerima dana daripada Program Malaysia Inovasi Sosial Akar Umbi (MyIS Akar Umbi/MaGRIs) sebanyak RM93,000.

Melalui geran tersebut, YIM membantu menyediakan mesin dan peralatan seperti mesin mixer tun tya, mesin feeder silo termasuk pengawal kelajuan, mesin pelletizer, cooling strainer dan beberapa mesin lain bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran produk FRB.

Selain itu, bantuan pendaftaran harta intelek juga dibuat untuk memberi perlindungan terhadap inovasi.

Mohd. Nawi berkata, sebagai anak kampung yang telah biasa dengan kehidupan nelayan, petani dan pesawah, beliau bersama arwah bapanya juga ada menternak lembu dan kambing, di samping menjadi tukang rumah mahir pada masa terluang.

Menurut bapa kepada lapan orang anak itu, semua pengalaman ini menimbulkan minat untuk mereka cipta dan berinovasi sejak kecil, apatah lagi tinggal di kawasan tepi pantai dan mempunyai sawah berdekatan serta tanah yang sesuai untuk pertanian kontan kelapa.

Katanya, penternak tidak lagi terkesan dengan peningkatan harga dedak di pasaran dan penggunaan bahan buangan industri padi dapat melindungi alam sekitar daripada peningkatan sisa buangan.

“Kaedah ini dapat memastikan bekalan makanan ternakan yang dihasilkan sendiri sentiasa mencukupi.

“Malah, ia dapat meningkatkan zat-zat dalam makanan haiwan ternakan yang dihasilkan, selain dapat menjadikan bahan buangan ternakan tidak berbau,” katanya yang merupakan lulusan Ijazah Sains Hayat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohd Nawi menjangkakan penjualan FRB dapat menjana keuntungan mencecah RM100,000 dalam tempoh lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya