Hafizul dipenjara 14 tahun, enam sebatan

Hafizul dipenjara 14 tahun, enam sebatan

HAFIZUL Hawari diiringi polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 39, dihukum penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada tahun lalu.

Hakim Zulkifli Abllah menetapkan hukuman itu selepas meneliti fakta kes sebaik sahaja tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya pada 19 Februari lalu.

Hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 15 April tahun lalu. Bagi pertuduhan pertama, Hafizul dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan manakala pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing hukuman penjara tiga tahun.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan setahun penjara untuk pertuduhan ketujuh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum sebanyak enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 AUTO tanpa lesen sah atas kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini kira-kira pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 14 tahun enam bulan dan enam sebatan untuk kesemua tujuh pertuduhan yang berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 15 April tahun lalu.

Terdahulu, media melaporkan, Hafizul yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api selepas lebih 10 bulan prosi­ding perbicaraan kes tersebut dija­lankan, menukar pengakuannya.

Pada 25 April tahun lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya