KUALA LUMPUR: Perlis berpotensi menjadi hab petroleum untuk pasaran negara negara seperti Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar dan Kemboja.
Penyelaras Madani Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pertemuan dan perbincangan pihaknya dengan wakil kerajaan dan Istana Thailand sudah diadakan bagi melaksanakan projek pembinaan tangki yang boleh menyimpan kira-kira 100 tan metrik minyak di Kuala Perlis.
Menurutnya, projek berkenaan sekiranya berjaya dilaksanakan mampu menyediakan kira-kira 9,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain menjana pendapatan RM10 juta setahun kepada Perlis.
“Sumber petroleum ini akan diperoleh dari negara-negara teluk selain pembekal dari Russia dan Eropah.
“Pembinaan hab minyak ini akan menyediakan harga yang lebih menarik kepada pengguna di Thailand, sekali gus boleh mengekang penyeludupan bahan api itu dari negara kita.
“Bagaimanapun, cadangan pembinaan projek ini perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Zahidi, dalam perbincangan tersebut, Thailand turut bersetuju membina lebuh raya empat lorong menghubungkan Kuala Perlis dengan Satun dan Songkhla.
“Pembinaan lebuh raya ini mampu memendekkan masa perjalanan Kuala Perlis dan Satun hanya 20 minit serta Songkhla, 50 minit,” jelasnya.- UTUSAN