KETIKA Gegar Vaganza (GV) All Stars melabuhkan tirainya tahun lalu, Poklip fikir oh mungkin GV akan direhatkan untuk beberapa tahun atau mungkin, jenama program realiti itu akan bertukar angin.
Sebagai peminat dari awal GV sehingga ke musim kesepuluh, sebenarnya Poklip juga sudah merasakan ada baiknya jika program itu ‘direhatkan’ sementara. Adakah anda juga bersetuju sama?
Tetapi bila GV11 diumumkan, Poklip fikir, ini masa buat duit dan semestinya peluang terbaik untuk stesen TV membuktikan kemampuan mereka untuk mengekalkan sesebuah program realiti untuk 11 musim.
Bukan senang sebenarnya untuk perah idea, hasilkan program bermusim-musim. Jadi tabik hormat kepada seluruh team produksi dari awal GV sehingga ke musim baharu, anda memang hebat.
Cuma, selepas artikel Poklip minggu lalu, ada yang bertanya GV pula bagaimana? Adakah gegarannya sama hebat seperti 10 musim terdahulu? Adakah program ini masing kekal nombor satu?
Kekal nombor satu dari segi rating, itu bergantung kepada jumlah tontonan. Tetapi jika bercakap tentang penerimaan, kemeriahan dan kehebatan, berbalik kepada tajuk kita, di mana gegarannya?
Apabila nama peserta diumumkan, Poklip sudah mengagak siapa bakal juara. Hatta, memasuki minggu ketiga juga pun, gelaran juara itu seharusnya sudah sah menjadi milik Liza Aziz. Tipu kalau ada yang menafikannya.
Jika dia bukan juara kelak, adalah mungkin kerana kesilapan dari segi penyampaian, vokal dan penjiwaan. Tetapi untuk menidakkan dia sebagai juara dan meletakkan nama orang lain sedangkan dia memberi persembahan hebat, itu menipu namanya.
10 musim bersiaran, kita sudah lihat sendiri bagaimana kedudukan pertama, kedua dan ketiga bertukar nama. Paling kurang mungkin ketika zaman Jaclyn Victor. Memang dia selalu juara tetapi saingan hebat ibarat bersilih ganti.
Jadi bila takhta pertama itu ibarat gelaran untuk Liza, maka juara sudah dapat diagak awal. Cabaran GV sebenarnya adalah untuk memberi persepsi berbeza kepada peserta setiap musim.
Siti Nordiana, sebagai wakil underdog, penyanyi lagu-lagu leman akhirnya berjaya membuktikan kemampuan dalam menyanyikan genre berbeza sama ada dangdut, rock atau tradisional. Memang sah juara.
Begitu juga dalam musim-musim lainnya, Amelina, Haiza, Intan Sarafina, Faradhiya masing-masing sudah membuktikan kredibiliti mereka sebagai penyanyi. Tidak hanya atas tiket genre masing-masing, walaupun bukan juara.
Bukan kita tidak lihat itu di peserta musim kali ini, tetapi ‘gegarannya’ seperti sudah hilang magis. Siapa tersingkir minggu lalu juga Poklip tidak tahu. Mungkin sebab Poklip sendiri memilih untuk tidak ambil tahu.
Sebab apa? Sebab semuanya sama. Tidak ada yang berubah dari musim ke musim. Bosan? Tidak juga tetapi secara peribadi, Poklip merasakan produksi seharusnya memikirkan sesutau di luar kotak.
Benar tidak adil jika Poklip pukul rata. Peminat program itu mesti menyangkal pandangan ini. Tetapi bukankah kelompok sama yang menyokong setiap artis untuk setiap musim?
Adakah usai sesebuah musim, kelompok sama akan berubah hati dan menunggu siapa calon baharu untuk disorakkan? Maka, untuk apa program yang bertujuan memberi nafas baharu kepada artis lama diwujudkan?
Salah artis itu? Mungkin juga, Lihat bagaimana Siti Nordiana ibarat ‘membedil’ industri seni dengan lagu baharu saban tahun. Tetapi mungkin sebab dia masih muda. Ada news value untuk diketengahkan.
Dengan lebih 100 peserta sepanjang program tersebut bersiaran, berapa kerat sahaja yang benar-benar berjaya? Peserta musim sembilan? Semuanya masih aktif. Maka, itu mungkin tidak dikira secara konklusinya.
Apa apa pun, berbalik kepada peserta juga kan? Pentas sebesar dan semega GV sudah diberikan, jika masih perlahan menyusun kerjaya, jangan salahkan orang lain. Diri sendiri menggerakkannya.