BESUT: Ulang tahun kelahiran 34 tahun yang sepatutnya menjadi hari bahagia buat seorang guru bertukar suram apabila rumah yang diduduki bersama tujuh lagi ahli keluarganya musnah dalam kebakaran, di sini kelmarin.
Abdul Aziz Zakaria, 34, berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan rumah dua tingkat yang berusia lebih 60 tahun musnah 80 peratus selain turut merosakkan sembilan buah motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berada di kawasan sawah padi untuk melakukan kerja-kerja pertanian dan mengetahuinya selepas dihubungi adiknya.
“Jika ikut perancangan asal saya pulang ke rumah kira-kira pukul 7 malam sebelum keluar makan malam untuk meraikan sambutan hari lahir bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut, di sini, semalam.
Bagaimanapun Abdul Aziz bersyukur kerana semua ahli keluarganya sempat menyelamatkan diri sewaktu kejadian dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.
Sementara itu, Ibunya, Zainab Md. Hassan, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang membersihkan halaman rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan seorang anaknya.
“Saya terdengar jeritan anak dan melihat melihat api sedang marak dari arah dapur sebelum semua anak dan cucu sempat sempat berlari keluar,” katanya.-UTUSAN