KUANTAN: Seorang guru besar sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan projek keceriaan sekolah berjumlah keseluruhan RM4,126, tiga tahun lalu.
Ruslinah Mohamed Kaseh, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan keempat-empat kertas pertuduhan, Ruslinah didakwa memperdaya Kementerian Pendidikan dengan mengemukakan invois daripada sebuah syarikat bagi pembekalan berkaitan projek Keceriaan Sekolah ‘Sekolahku Indah’ Transformasi Sekolah 25 Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan melalui Unit Kewangan SK LKTP (Felda) Bukit Kuantan bernilai antara RM220 sehingga RM1,896.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit pada 9 Disember 2022 bertempat di sekolah yang sama. Dia justeru didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Ibu empat anak itu turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan bagi kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan menipu. Bagi pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan juga denda.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 April ini untuk serahan dokumen.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu tidak kacau ganggu dan menghubungi saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai selain perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan. – UTUSAN