Guru Bahasa Inggeris didakwa amang seksual dua pelajar lelaki

Guru Bahasa Inggeris didakwa amang seksual dua pelajar lelaki

TERTUDUH (tengah) berjalan masuk ke mahkamah bagi menghadapi lima pertuduhan kes amang seksual ke atas dua pelajar di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang guru Bahasa Inggeris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan amang seksual fizikal ke atas dua pelajar lelaki di sebuah sekolah di Simpang Empat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik, 44, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sewaktu pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh dua kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun pada bahagian kemaluan yang dilakukan di dalam bilik media di sebuah sekolah menengah sekitar Simpang Empat di sini antara 21 Ogos 2023 sehingga November 2023.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian. 

Semasa prosiding, Nabilah memohon mahkamah agar menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM19,000 bagi kelima-lima pertuduhan berkenaan. 

Mohamad Alif bagaimanapun memohon agar mahkamah mengenakan jaminan yang minimum susulan anak guamnya perlu menyara keluarga memandangkan isterinya merupakan seorang suri rumah di samping menanggung seorang anak angkat masih bersekolah.

Selain itu, tertuduh juga mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, buah pinggang tahap empat dan jantung.

Katanya, tertuduh juga menetap di Perlis dan tidak berisiko untuk melarikan diri bagi menghadiri perbicaraan di mahkamah mengikut tarikh ditetapkan. 

Susulan itu, mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 bagi lima pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan. 

Tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya