Guna ‘air buangan’ sawah, air hujan banjiri bendang

Guna ‘air buangan’ sawah, air hujan banjiri bendang

ABDUR Rahman Husni Ismail (kanan) dan Muhamad Nasrullah Mohd. Nawi menunjukkan kawasan sawah padi yang sering terjejas akibat kekurangan bekalan sumber air di Kampung Air Terjun, Besut, Terengganu semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Hampir 500 pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air sehingga terpaksa menggunakan ‘air buangan’ dari sawah atau mengharapkan hujan untuk mengairi petak bendang di bawah Skim Pengairan Pelagat, di sini.

Masalah itu melibatkan keluasan lebih 500 hektar sawah di lapan buah kampung iaitu Kampung Padang Landak, Padang Luas, Gong Penaga, Pengkalan Setor, Tok Has, Dengir, Beris Pok Abu serta Kampung Gong Lapan.

Seorang petani, Abdur Rahman Husni Ismail, 35, berkata, keadaan itu berlarutan hampir 15 tahun tetapi keadaan menjadi semakin parah beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berada di kawasan yang jauh dari sumber air iaitu Rumah Pam Pelagat dan terpaksa menggunakan ‘air buangan’ dari sawah di bahagian atas atau hujan untuk mengairi sawah.

“Kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri membeli pam air untuk kegunaan sendiri ekoran pam yang dibekalkan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Terjun, di sini.

Menurut Abdur Rahman, dia membelanjakan kira-kira RM2,400 untuk membeli pam sebagai inisiatif sendiri bagi mengelakkan menanggung kerugian sekiranya padi mati susulan masalah tersebut.

Katanya, keadaan semakin meruncing ketika musim kemarau sehingga boleh menyebabkan padi yang ditanam terbantut pembesarannya apabila kekurangan bekalan air.

“Ini menyebabkan pendapatan kami kurang apabila hasil padi dituai berkurangan dan kualitinya menurun,” katanya.

Seorang lagi petani, Muhamad Nasrullah Mohd Nawi, 29, berharap masalah itu mendapat perhatian pihak berwajib dan membantu mencari jalan penyelesaian yang lebih efektif.

“Kitaran padi ini dua musim dalam setahun dan kami bimbang berdepan masalah sama apabila ingin memulakan kerja-kerja penanaman padi musim pertama bermula Mac ini.

“Kami berharap masalah ini dapat segera diselesaikan termasuk membina telaga tiub dan menambah lebih banyak pam air bagi menampung keperluan petani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya