Growbiz berjaya bimbing 160 usahawan mikro naik taraf perniagaan

Growbiz berjaya bimbing 160 usahawan mikro naik taraf perniagaan

KHAIRUL Dzaimee Daud (tengah) bersama penerima sijil Majlis Graduasi Program GrowBiz 2024/2025. Turut kelihatan ialah Rizal Datuk Nainy (enam dari kanan), Coach Anusia Ramasamy (lima dari kiri) dan Nazura Zahian Rahime (lima dari kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 160 usahawan mikro dan kecil telah dibimbing untuk menaik taraf dan meningkatkan daya saing mereka menerusi penyertaan dalam Program GrowBiz.

Hari ini kumpulan usahawan terlibat menerima sijil masing-masing dalam Majlis Graduasi Program GrowBiz 2024/2025 yand isempurnakan oleh Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

GrowBiz merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP.

Program ini memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan.

Ia telah diperkenalkan pada tahun 2021/2022 dan graduan kali ini merupakan kumpulan ketiga dalam pelaksanaan Program GrowBiz.

Khairul Dzaimee dalam ucapannya  beekata, peserta di bawah Program GrowBiz 2024/2025 bakal menjadi sebahagian usahawan yang akan dibimbing untuk dinaik taraf saiznya sejajar dengan hasrat KUSKOP dan agensi memberikan tumpuan terhadap penskalaan PMKS khususnya bagi meningkatkan perusahaan bersaiz sederhana kepada 5% berbanding 1.8% ketika ini.

Malah katanya, dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sasaran ini telah ditingkatkan kepada 10%.

Khairul Dzaimee turut mengumumkan berita baik semasa ucapannya iaitu, peserta terbaik di bawah Program GrowBiz akan dijemput untuk menerima sijil daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam program yang akan diadakan di Tawau, Sabah pada bulan Mei nanti.

Pada majlis yang sama, Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia turut berkongsi mengenai pencapaian dan impak Program GrowBiz 2024/2025.

“Berdasarkan pemantauan selepas tamat menyertai Program GrowBiz, 152 peserta (94%) menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah kenaikan 291%.

“Selain itu, 63% peserta telah berjaya menaik taraf perniagaan daripada mikro kepada kecil manakala 65% peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 281 pekerjaan baharu,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga beberapa peserta yang berjaya mengeksport ke United Kingdom, Switzerland, Brunei, Dubai, China, Bangladesh, Vietnam, Ireland, Qatar, Thailand dan Singapura.

GrowBiz menggunakan pendekatan bimbingan khusus (hand-holding) ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, tunjuk ajar (coaching) dan pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro meningkatkan perniagaan ke tahap seterusnya.

GrowBiz kali ini yang dilaksanakan oleh dua  Rakan Pelaksana iaitu AverNoble Sdn. Bhd. untuk peserta dari Semenanjung Malaysia dan Celebrate TV Sdn. Bhd. untuk peserta dari Sabah dan Sarawak turut disokong oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai Rakan Strategik.

Hadir sama, Coach Anusia Ramasamy, Ketua Pegawai Eksekutif AverNoble Sdn. Bhd. dan Nazura Zahian Rahime, Ketua Pegawai Eksekutif Celebrate TV Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program GrowBiz, sila layari laman sesawang, www.smecorp.gov.my.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN