PETALING JAYA: Mana-mana kaum di Malaysia termasuk Melayu, India dan Cina, terutamanya golongan miskin dan kurang berkemampuan tidak akan dipinggirkan oleh Kerajaan Madani dalam soal kebajikan dan kesejahteraan hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap adil ini amat penting bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah terjalin sekian lamanya.
Katanya, ia sekali gus menjadi simbol kekuatan untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.
“Prinsip keadilan sosial yang diamalkan oleh kerajaan Madani adalah asas kepada perpaduan negara.
“Kami tidak akan membiarkan mana-mana golongan terpinggir, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Anwar berharap inisiatif Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya dapat diperluaskan lagi dan menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam mengangkat serta menjulang kebajikan rakyat negara ini.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan akan terus komited dan melipatgandakan usaha membantu pihak dan golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Inisiatif itu sekali gus menggambarkan kerajaan tidak berlapang dada dan berada di zon selesa
“Sebaliknya usaha membantu pihak dan golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masih perlu terus dilakukan dan dilipatgandakan lagi.
“Ini kerana hal ehwal pendidikan, kesihatan dan perumahan menjadi agenda penting Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, Kuala Selangor. –UTUSAN