Gerakan gesa kerajaan tegas banteras rasuah

Gerakan gesa kerajaan tegas banteras rasuah

Dominic Lau Hoe Chai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk mengambil serius isu rasuah di negara ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kegagalan bertindak tegas akan mencemarkan kredibiliti kerajaan serta melemahkan komitmen dalam memerangi rasuah.

“Kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap ahli politik yang terlibat dalam rasuah akan mencemarkan kredibiliti kerajaan serta melemahkan komitmen dalam memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut membangkitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu yang mendakwa Pejabat Peguam Negara membuat pertuduhan terhadap individu tertentu secara tergesa-gesa selepas Pilihan Raya Umum 2018 di atas motif dendam politik.

“Ini membuktikan tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah bersifat terpilih dan bermotif politik,” ujarnya.

Dominic turut mengkritik kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global yang kekal di tangga ke-57 selama dua tahun berturut-turut, sekali gus menunjukkan usaha kerajaan dalam membanteras rasuah masih belum mencukupi.

Katanya, jika kerajaan benar-benar mahu mencapai kedudukan 25 teratas dalam indeks ini menjelang 2033, Malaysia perlu memperoleh skor antara 68 hingga 70 mata. 

“Ini bermakna setiap tahun, negara mesti menunjukkan peningkatan dalam usaha membanteras rasuah dan ketelusan.

“Jika tidak, semua yang dilaungkan hanyalah cakap kosong, sekadar gimik politik untuk mengaburi mata rakyat,” katanya.

Selain itu, Dominic berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh sekadar menjadi slogan atau alat untuk menekan ahli politik demi mendapatkan sokongan.

Menurut laporan terkini Indeks Persepsi Rasuah Global 2024 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), skor dan kedudukan Malaysia tidak menunjukkan perubahan kerana beberapa kes berprofil tinggi diberi keputusan ‘Dilepaskan tetapi tidak bermaksud tidak bersalah’ (DNAA).

Katanya, keputusan sabitan kes rasuah oleh Mahkamah Persekutuan yang dikurangkan hukuman serta denda diringankan dan kemajuan reformasi institusi yang masih perlahan turut menjadi faktor penyumbang.

“Walaupun kerajaan sering menegaskan komitmen terhadap pentadbiran yang baik dan reformasi, pelaksanaan sebenar masih tidak mencukupi.

“Saya menggesa kerajaan khususnya SPRM, agar menjalankan siasatan secara telus dan tanpa takut atau berat sebelah terhadap kes-kes rasuah,” tegasnya.

Dominic berkata, Anwar perlu membuktikan komitmen dalam membanteras rasuah dengan memberi kuasa penuh kepada SPRM dan institusi kehakiman bagi menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan politik.

“Jika Perdana Menteri benar-benar serius membanteras rasuah, beliau harus memberi kuasa penuh kepada SPRM dan institusi kehakiman untuk menjalankan siasatan mengikut undang-undang tanpa campur tangan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya