MELAKA: Umat Islam diminta untuk mematuhi garis panduan khusus bagi menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam yang telah dijadikan rujukan di setiap negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, garis panduan itu sudah cukup lengkap dan memadai bagi memudahkan umat Islam memahami batas digariskan mengikut hukum syarak.
Menurutnya, jika ada timbul isu-isu berbangkit perkara tersebut boleh dirujuk kepada pihak autoriti agama mengikut negeri.
“Jadi kita ingin jadikan perkara ini (garis panduan) sebagai satu yang bermanfaat
dan baik daripada apa yang ada. Saya harapkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya tenang dan menghormati antara satu sama lain dan kita ikutlah garis panduan yang ada di setiap negeri.
“Garis panduan yang ada itu sudah sangat baik dan kita perlu bagi pencerahan. Sebenarnya apa yang boleh kita lakukan adalah kita kena terus move on,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina 2025 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Rumah Melayu Melaka, Kampung Morten di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, rakyat perlu memberi fokus kepada perdamaian, perpaduan dan menoktahkan perkara yang negatif selain menjadikan isu tersebut sebagai sesuatu yang bermanfaat.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada penjelasan diperlukan berhubung garis panduan baharu bagi umat Islam menghadiri majlis masyarakat bukan Islam.
Namun beliau menegaskan, adalah penting bagi semua umat Islam untuk menjaga akidah kerana sememangnya mengetahui pantang larang membabitkan agama.
Jelasnya, kehadiran umat Islam pada majlis bukan Islam tidak melebihi batas sebaliknya hanya sekadar memenuhi jemput majlis dan bukannya upacara agama.
Sebelum itu, jemaah Menteri bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di Malaysia berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang membabitkan unsur-unsur keagamaan.
Menerusi satu kenyataan bersama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Kata kenyataan itu, Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jakim telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut,” kata kenyataan itu. – UTUSAN