PETALING JAYA: Kira-kira 142 keping gambar mayat kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Antara gambar yang dikemukakan adalah gambar kanak-kanak malang itu dalam keadaan hanya memakai lampin pakai buang.
“Ia adalah gambar mangsa memakai lampin pakai buang, gambar kepala hingga badan mangsa, gambar kemaluan mangsa, baju bertulis nama Zayn Rayyan dan gambar bersama lampin mangsa,” kata saksi pertama pendakwaan, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Ariffin, 45.
Terdahulu, saksi yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memberitahu beliau diarahkan untuk mengambil gambar bedah siasat mangsa di Hospital Sungai Buloh oleh pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail pada 7 Disember 2023.
Selain gambar mayat Zayn Rayyan dalam keadaan memakai lampin pakai buang, turut dikemukakan 94 keping gambar bedah siasat, 32 gambar forensik, 13 gambar tempat kejadian serta tiga gambar yang menunjukkan beg milik mangsa.
Sementara itu, ketika gambar-gambar itu dikemukakan, pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf; kedua-duanya berusia 30 tahun dilihat menangis di kandang tertuduh.
Bagi prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung semula esok.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN