KUALA LUMPUR: Penyanyi, Rezza Shah mendedahkan menjadi mangsa eksploitasi apabila imejnya dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting dan menyebarkan gambar tersebut di media sosial.
Kata Rezza, juga menjadi mangsa pelakuan tidak bermoral itu adalah beberapa artis tempatan yang gambar mereka turut disalah guna.
“Gambar-gambar itu disebarkan menerusi pautan yang membawa pelayar kepada sebuah akaun Telegram.
“Pelaku turut mengeksploitasi gambar peribadi saya yang dirakam ketika saya mandi sungai.
Terdapat juga gambar beberapa rakan artis lain yang mereka gunakan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis mengenai perkara ini,” katanya.
Rezza berkongsi perkara itu pada sidang media pelancaran lagu baharunya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran bumi kenyalang ini juga meluahkan kerisauan apabila menerima banyak gambar tidak senonoh daripada orang tidak dikenali di media sosial.
“Banyak sebenarnya. Gambar yang aneh-aneh dari perempuan pun ada, begitu juga dari golongan yang suka pada kaum sejenis.
“Sudah lama saya terima gangguan-gangguan seperti ini. Lebih merisaukan apabila ia dihantar dengan akaun media sosial palsu,” katanya.
Disoal mengenai kes ugutan simbah asid yang diterimanya ketika menyertai sebuah pertandingan nyanyian sebelum ini, Rezza memaklumkan telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
“Saya sudah buat laporan polis, mereka sedang siasat kes tersebut,” jelasnya. – UTUSAN