JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengkaji supaya pelaksanaan gaji premium melibatkan tenaga kerja mahir turut melibatkan bidang kepakaran berkaitan agama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu bagi melahirkan lebih ramai modal insan dalam bidang agama berkemahiran tinggi di negeri ini.
Menurutnya, ketika ini majoriti pakar dalam bidang agama berkhidmat di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“(Pelaksanaan gaji premium) Kita akan melihat sektor-sektor yang ada termasuk kepada pakar-pakar agama. Hal berkaitan penggajian ini kita akan susun semula kerana itu memang kerja kerajaan.
“Mereka yang pakar dalam bidang agama ini juga boleh sertai pelbagai profesion lain seperti penceramah, pakar psikologi, kaunselor dan lain-lain lagi. Memang kita sasarkan gaji premium dalam kepakaran semua bidang,” katanya selepas meninjau hari pertama Peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STAM) di Madrasah Alattas Alarabiah Johor di Ulu Tiram, dekat sini hari ini.
Aznan memberitahu, kerajaan negeri akan membantu para pelajar yang mengikuti jurusan agama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk di universiti-universiti luar negara.
“Kebiasaannya pelajar yang mengambil STAM ini akan menyambung pengajian ke universiti luar negara seperti di Jordan dan lain-lain, kerajaan negeri akan bantu termasuk penempatan pekerjaan mereka kelak.”Kita juga menggalakkan perkembangan bidang ini kerana Johor mahu melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang-bidang berkaitan agama Islam di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan seramai 344 calon menduduki peperiksaan STAM di 13 pusat peperiksaan di negeri ini bermula hari ini. – UTUSAN