PUTATAN: “Saya terperanjat apabila tengok harga barang kelengkapan sekolah (mahal) dan saya rasa memang ibu bapa akan terbeban,”.
Demikian kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh apabila meninjau harga barang kelengkapan sekolah di Servey Hypermarket, di sini hari ini.
Beliau berkata, secara umum harga barang kelengkapan sekolah di Semenanjung juga mahal tapi, di Sabah mungkin lebih mahal.
Katanya, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang baru masuk ke sekolah menengah, RM200 itu tidak mencukupi terutama dalam menyediakan baju persalinan tambahan untuk anak-anak.
“Itu sebabnya, di pihak kementerian kena bekerja kuat lagi untuk menawarkan lebih banyak Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan bekerjasama lebih erat dengan pasar-pasar raya.
“Kementerian boleh memainkan peranan yang lebih proaktif untuk mencadangkan kepada pasar raya untuk mengadakan PJRM pada hari-hari akhir seperti ini,” katanya.
Menurut beliau, PJRM memang telah ada peruntukan yang tersedia maka, ia harus digunakan dengan sebaiknya bagi mengurangkan bebanan ibu bapa.
Fuziah turut memberi peringatan kepada pasar raya untuk sama-sama bekerjasama dengan kementerian dalam menjayakan PJRM Kembali ke Sekolah demi manfaat rakyat.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 28 PJRM Kembali ke Sekolah telah dilaksanakan di Sabah namun, beliau agak kecewa apabila pada hari terakhir sebegini tiada jualan Rahmah diadakan di pasar raya berkenaan.
Kata beliau, pasar raya sepatutnya menyusun dengan lebih baik PJRM Kembali ke Sekolah pada hari-hari terakhir sebegini kerana kerajaan telah pun menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan PJRM. – UTUSAN