JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-27 yang berlangsung di Bukit Layang-Layang di sini merupakan platform terbaik mempromosikan budaya dan gaya hidup masyarakat ke peringkat antarabangsa.
Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd. Masni Wakiman justeru berharap penganjuran FLLSPG pada masa depan akan dapat menarik lebih ramai peserta dari pelbagai negara.
“FLLSPG adalah acara tarikan pelancongan di Pasir Gudang, dengan tahun ini ia berjaya menarik penglibatan seramai 126 peserta antarabangsa daripada 44 negara, selain 250 peserta tempatan.
“Ia merupakan platform terbaik bagi Malaysia mempromosikan budaya dan cara hidup masyarakatnya, termasuk sikap toleransi antara kaum di sini,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan FLLSPG ke-27, di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin; Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim dan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin.
Sementara itu, A. Rahim memberitahu, pihaknya menyasarkan penglibatan sehingga 66 buah negara pada penganjuran FLLSPG pada tahun-tahun mendatang.
“FLLSPG merupakan satu acara bertaraf antarabangsa yang diiktiraf dan kita akan berusaha untuk menarik penglibatan lebih ramai peserta antarabangsa.
“Hasrat kita adalah untuk mengumpulkan pelayang-pelayang dari seluruh negara, dan sasaran kita tetapkan adalah sehingga 66 buah negara,” katanya.
Beliau yakin sasaran 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa mampu dicapai pada edisi kali ini.
FLLSPG edisi ke-27 yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu dan berakhir semalam. – UTUSAN