KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih belum menikmati manfaat secara langsung daripada penjualan saham PT Eagle High Plantation Tbk (EHP) berikutan mempunyai tanggungan pinjaman dengan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, tanggungan pinjaman itu ditetapkan untuk tempoh 20 tahun.
“Mengenai manfaat diperoleh Felda daripada pelaburan (terbabit), buat masa ini, Felda masih belum menikmati sebarang manfaat secara langsung.
“Ini kerana Felda masih mempunyai tanggungan pinjaman dengan GOVCO Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan),” katanya ketika sesi penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, nilai pelaburan dalam EHP turut mengalami penurunan.
Beliau mengulas soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai kebenaran jumlah pelaburan bernilai RM2.3 bilion pada 2016 kini hanya bernilai RM200 juta.
“Ini berpunca daripada penurunan harga saham di Bursa Saham Indonesia yang menjejaskan nilai pegangan FIC Properties dalam syarikat berkenaan,” katanya. – UTUSAN