Ex Rimau: PDRM siap-siaga hadapi Kepengerusian ASEAN

Ex Rimau: PDRM siap-siaga hadapi Kepengerusian ASEAN

LATIHAN ditunjukkan dalam Ex Rimau 25 bagi kawalan keselamatan Kepengerusian ASEAN, tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai elemen pasukan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini susulan kehadiran sekumpulan ‘penunjuk perasaan’ selain penemuan kotak disyaki berisi bahan letupan.

Ia membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Tempur Ringan (LSF), Unit Pemusnah Bom, Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan 69 Komando (VAT 69), Counter Terrorism Cawangan Khas dan jururunding PDRM.

Kira-kira 30 penunjuk perasaan itu dilihat berkumpul di pekarangan KLCC bermula pukul 2.30 petang dan pasukan LSF dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi antara yang terawal diturunkan bagi mengawal situasi namun mereka tetap berdegil.

Bagaimanapun keadaan itu dapat dileraikan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota FRU bagi mengawal situasi tersebut.

Itu antara latihan ditunjukkan dalam Ex Rimau 25 bagi kawalan keselamatan Kepengerusian ASEAN, tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Deputi Komisioner M.V Srikumar M. Nair berkata, seramai 150 anggota daripada pelbagai elemen PDRM terlibat dalam latihan terbabit bagi menghadapi sebarang situasi ketika Kepengerusian ASEAN.

Selain itu, katanya, latihan tersebut bagi memastikan negara kita sentiasa bersiap-siaga dengan apa juga keadaan.

“Latihan ini juga untuk gerak atur ketika hari persidangan (Kepengerusian ASEAN) bagi ketua polis daerah, pegawai medan membuat sebarang keputusan serta bagaimana untuk bertindak termasuk mengeluarkan orang kenamaan di lokasi.

“Daripada latihan ini, kita akan cuba menambah baik kelemahan-kelemahan yang dikesan jadi hasilnya ketika persidangan (Kepengerusian ASEAN) nanti, Malaysia mempunyai mekanisme selamat dan berkesan. Itu matlamat kita.

“Antara demonstari dilakukan hari ini adalah kehadiran penunjuk perasaan dan jumpa bahan letupan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, satu lagi latihan akan dilakukan pada masa akan datang dengan penglibatan agensi-agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya