EU terus aktif promosi kempen antiminyak sawit

EU terus aktif promosi kempen antiminyak sawit

BARAT membuat propaganda dengan menyekat dan menjalankan kempen antiminyak kelapa sawit. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen negatif terhadap minyak sawit masih bergiat aktif, terutamanya di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang sering mengaitkan komoditi itu dengan isu penebangan hutan dan perubahan iklim.

Ketua Pengarah, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir mendedahkan akibatnya negara EU mengenakan syarat ketat terhadap import produk sawit melalui undang-undang seperti peraturan ber­kaitan pematuhan bebas daripada penebangan hutan (EUDR).

“Bagaimanapun, Malaysia ber­sama Indonesia mengambil langkah tegas dengan melancarkan kempen penerangan dan kerjasama diplomatik bagi me­ngubah persepsi negatif ini.

“Penerapan teknologi perta­nian mampan dan pensijilan se­perti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjadi bukti komitmen negara terhadap penge­luaran minyak sawit yang bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejak beberapa tahun lalu, negara Barat membuat propaganda dengan menyekat dan menjalankan kempen antiminyak kelapa sawit.

Ia secara tidak langsung menim­bulkan banyak spekulasi dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan pengguna.

Sebelum ini, Parlimen EU me­ngundi biofuel berasaskan sawit diharamkan sepenuhnya pada 2021, manakala biofuel berasaskan tanaman lain dihadkan pada kadar tujuh peratus sebelum pengurangan secara beransur-ansur kepada 3.8 peratus menjelang 2030.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melalui keputusan yang diumumkan 10 Januari lalu, mengekalkan klasifikasi EU biofuel berasaskan minyak sawit sebagai ‘berisiko tinggi’ kerana dikaitkan dengan penebangan hutan.

Minyak sawit mempunyai banyak manfaat kesihatan yang mendorong Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melancarkan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan untuk mempamerkan inisiatif serta pengurusan industri minyak sawit Malaysia yang mampan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, negara-negara Eropah menjalankan kempen memfitnah dan memburuk-burukkan minyak kelapa sawit disebabkan komoditi itu menjadi pesaing hebat kepada minyak soya, bunga matahari dan minyak rapeseed.

Katanya, minyak kelapa sawit akan menjejaskan ekonomi EU dan pendapatan golongan peladang serta petani yang kebanyakannya menerima subsidi daripada kerajaan mereka.

“Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama me­nyangkal tuduhan kempen di negara Eropah dan berusaha mencari pasaran baharu di negara-negara membangun dan dunia ketiga.

“Jika dibiarkan, pendapatan negara akan terjejas dan memberi kesan kepada peneroka kelapa sawit di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya