Tahun 2020 dan 2021 menyaksikan perubahan yang sangat ketara dalam sistem pendidikan di negara kita dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi telah menutup semua sekolah dan universiti di negeri-negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai langkah memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19.
Sepanjang tempoh PdPR, guru dan pensyarah melaksanakan proses PdP dengan bekerja daripada rumah dan dilaksanakan hampir satu tahun malah pelajar dan guru atau pensyarah sudah terbiasa dengan norma baharu dalam PdP.
Namun, pelajar harus mengetahui etika-etika ketika mengikuti PdPR secara dalam talian, antaranya: memberi salam kepada guru / pensyarah sebelum sesi mula pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan universiti.
Namun, kebiasaan ini tidak lagi menjadi satu amalan kepada pelajar yang mengikuti PdPR. Budaya memberi salam seperti “Assalamualaikum” atau “selamat sejahtera” perlu dibaja dalam diri pelajar walaupun bersemuka secara maya dengan guru atau pensyarah.
Kedua, memastikan kamera video hadapan dalam keadaan “ON” pada setiap masa PdPR adalah satu perkara yang bukan baharu kepada pelajar mahupun ibu bapa namun masih belum ada kesedaran tentang etika pembelajaran yang di kategorikan sebagai bersemuka tetapi secara maya.
Dalam keadaan norma baharu setiap kali pelajar memasuki kelas dalam talian, mereka pasti akan menekan butang kamera video hadapan kepada “OFF”, dan ini adalah satu perlakuan yang sangat tidak beretika.
Sebagusnya, pelajar perlu berada dalam keadaan bersedia di hadapan peranti sebelum memasuki kelas dalam talian dan perlu duduk dalam keadaan selesa sepanjang sesi berlangsung.
Ketiga memastikan suara dalam keadaan “MUTE” sepanjang sesi PdPR bagi memastikan suara dimatikan semasa mengikut kelas dalam talian. Akan tetapi ada pelajar yang tidak memberikan kerjasama dengan menghidupkan suara dan bercakap malah bersembang semasa cikgu / pensyarah menyampaikan ilmu.
Kerana itu, pelajar lain yang mengikuti kelas dalam talian tidak dapat memberikan tumpuan kepada guru atau pensyarah kerana suasana kelas yang agak bising. Hal ini banyak berlaku di kelas dalam talian melibatkan murid sekolah rendah.
Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka fokus dengan melakukan pemantauan berkala untuk menjadikan sesi PdPR berjalan lancar.-UTUSAN
Raja Nazim Raja Abdullah, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).