IPOH: Polis menerima enam laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjuran pertandingan bola sepak yang tidak wujud di Padang Taman Dr. Seenivasagam, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, satu daripada laporan dibuat seorang wanita berusia 39 tahun yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur.
Katanya, mangsa mendakwa telah ditipu seorang lelaki berkaitan Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah U14 & U16, ASM Cup dan Big Pos Cup 2025 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 7 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa membuat dua kali pembayaran secara dalam talian sebanyak RM400 ke dalam dua akaun bank berbeza.
“Bagaimanapun, apabila mangsa tiba di lokasi penganjuran semalam, didapati tiada khemah disediakan malah usaha untuk menghubungi penganjur untuk pengesahan juga tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selain mangsa, pihaknya turut menerima lima laporan polis melibatkan penganjur yang sama.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pihak yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN