Enam kenderaan terbakar di ruang parkir PPR Paya Nahu

Enam kenderaan terbakar di ruang parkir PPR Paya Nahu

ANG Kok Meng melihat motosikalnya yang hangus terbakar di ruang parkir Blok H PPR 1 Paya Nahu di Sungai Petani - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebuah kereta dan lima buah motosikal hangus dalam kejadian kebakaran di Blok H, Projek Perumahan Rakyat (PPR) 1 Paya Nahu, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba 1, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 3.51 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba kami mendapati penduduk sedang menyimbah air pada kenderaan terlibat untuk memadam api.

“Pasukan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal api sebelum berjaya memadam keseluruhan kebakaran yang membabitkan kenderaan dan bahagian atas ruang bawah blok yang dijadikan parkir,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang terbakar di bahagian hadapan dan lima buah motosikal pelbagai jenama.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pemilik motosikal, Ang Kok Meng, 49, berkata, dia terkejut mendengar orang ramai menjerit semasa berada di bilik tidur rumahnya di tingkat tiga blok itu.

“Saya segera turun dan mendapati penduduk sedang menyimbah air ke atas beberapa buah motosikal yang sedang terbakar. Motosikal milik saya musnah bersama tiga lagi motosikal penduduk.

“Saya kehilangan satu-satunya kenderaan untuk berulang alik kerja sebagai pembantu kedai makan di bandar Sungai Petani,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Pemilik Proton Wira, Mi Kalthom Saari, 56, berkata, dia tergamam apabila melihat api marak membakar keretanya sebelum berjaya dipadamkan anggota bomba.

“Walaupun api sempat dipadam, namun kereta saya hangus terbakar di bahagian hadapan serta rosak menyebabkan tidak lagi boleh diguna untuk membawa barang-barang berniaga di pasar pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya