PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong di platform media sosial Facebook.
Menerusi kenyataan, MCMC dalam satu operasi yang dijalankan hari ini, seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur, telah diperiksa kerana didakwa menyebarkan kandungan palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Pihak berkuasa turut menyita satu unit telefon pintar dan satu unit kad SIM bagi membantu siasatan.
Analisis forensik akan dijalankan untuk mendapatkan bukti tambahan berkaitan kes ini.
Selain itu, satu lagi kes akan disiasat bersama Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan suspek akan dipanggil memberi keterangan esok bersama pasukan USJT.
MCMC turut merancang untuk menjalankan pemeriksaan terhadap suspek lain sepanjang minggu ini di beberapa lokasi berasingan, termasuk Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian, dan Teluk Intan.
Sebelum ini, dua individu telah menerima notis daripada MCMC untuk hadir memberikan keterangan mengenai kandungan yang dimuat naik mereka di Facebook.
Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan platform dalam talian untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat.
MCMC menyarankan orang ramai untuk mengesahkan kesahihan maklumat sebelum berkongsi dengan menggunakan platform seperti Chatbot AIFA, yang boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp dalam empat bahasa: Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil. – UTUSAN