KLUANG: Seorang wanita dan suaminya nekad mengejar kereta dinaiki tiga lelaki yang melepaskan enam das tembakan di hadapan rumah mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini, semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dian berkata, mereka mengejar sejauh dua kilometer bagi mendapatkan nombor kereta Perodua Bezza yang digunakan kumpulan penjenayah itu agar dapat dilaporkan kepada polis.
“Ketika kejadian saya dan suami baharu pulang dari sekolah agama kerana membayar yuran sekolah anak lelaki tunggal kami berusia 10 tahun. Kemudian, sebuah kereta tidak dikenali memasuki halaman rumah, tiga lelaki berdiri di tepi tembok kira-kira 10 meter dari rumah.
“Salah seorang suspek bertanya siapa pemilik rumah dan kereta, belum sempat saya menjawab, seorang daripadanya mengacukan pistol dan melepaskan empat das tembakan. Tembakan nyaris terkena pinggang saya, tetapi tersasar terkena bingkai pintu, dinding rumah.
“Saya sempat mengambil penyapu, manakala suami ambil parang di dapur untuk pertahankan diri. Saya juga jerit minta tolong daripada jiran. Kehadiran jiran-jiran mengakibatkan kesemua suspek lari ke arah kereta sambil melepaskan dua lagi tembakan,” katanya ketika ditemui.
Tambah Dian, dia dan suami terus menaiki kereta untuk mengejar kereta suspek.
Ditanya tentang motif kejadian, wanita itu enggan mengulas dan menyerahkan siasatan kepada polis.
“Sehingga kini kami sekeluarga dalam ketakutan kerana terdapat beberapa suspek yang masih diburu polis. Setakat ini diberitahu hanya seorang sudah ditahan di Simpang Renggam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh mengesahkan menerima laporan pada pukul 12.17 tengah hari semalam daripada seorang suri rumah.
Katanya, suspek yang dikenali sebagai Man Tiger berjaya ditahan di Pusat Perdagangan Simpang Renggam pada pukul 7 malam semalam, manakala baki tujuh lagi rakan sejenayah masih diburu. – UTUSAN