PUTRAJAYA: Enam bulan adalah tempoh yang sesuai bagi melengkapkan setiap pusingan kerja bagi petugas kaunter.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia adalah tempoh sesuai bagi pelaksanaan pusingan kerja di semua kementerian dan jabatan yang dilaksanakan bermula semalam.
Beliau berkata, tempoh itu juga bagi membolehkan petugas kaunter memberi khidmat terbaik selaras perubahan bidang tugas masing-masing.
“Pusingan kerja petugas kaunter akan dilakukan secara berperingkat selain mengelak gangguan operasi di pelbagai peringkat perkhidmatan awam.
“Tempoh itu munasabah kerana kita memiliki banyak kaunter, sama ada di bawah seliaan kementerian dan jabatan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepa Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.
Katanya, buat masa ini, sebahagian daripada petugas kaunter itu akan ditukarkan terlebih dahulu dan manakala, selebihnya dikekalkan dahulu sementara dipindahkan pada fasa berikutnya.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pihaknya mengakui bahawa proses pertukaran itu bukannya mudah bagi kakitangan yang tidak berpengalaman.
Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya akan mula meletakkan jangka masa bagi pengendalian setiap urusan di sektor awam, selari gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkhidmatan awam kekal berdaya saing.
“Penetapan jangka masa itu perlu dibuat susulan rungutan daripada pelanggan kita selama ini serta pemerhatian dilontarkan Perdana Menteri yang melihat ada pegawai kerajaan lembab, malas dan sebagainya.
“Jangka masa ini baik bagi mengukur tahap kepantasan kerana dunia semakin canggih, selain penggunaan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan sebagainya memerlukan kepantasan,” katanya.
Ditanya mengenai pengenalan Skim Lantikan Tetap Bercarum (LTB) pula, Wan Ahmad Dahlan berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya lagi, beliau menetapkan tempoh tiga bulan kepada Bahagian Pencen JPA untuk membentangkan perincian LTB.
LTB adalah antara cadangan bagi menggantikan skim lantikan tetap dan berpencen bagi perkhidmatan awam.-UTUSAN