SUNGAI PETANI: Empat anggota polis cedera di beberapa bahagian badan termasuk di kepala akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam kejadian amuk di Taman Seri Astana, di sini petang, kelmarin.
Kejadian membabitkan suspek berumur 32 tahun dan merupakan bekas guru agama itu berlaku kira-kira pukul 3 petang sebelum suspek berjaya ditahan tujuh jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, akibat kejadian itu empat anggota berumur 30-an hingga 50-an dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Dua anggota hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar manakala dua lagi masih berada di wad untuk rawatan lanjut.
“Suspek juga disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di HSAH malam tadi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.
Katanya, pihak polis menerima laporan daripada bapa lelaki terbabit petang semalam sebelum beberapa anggota dihantar untuk memujuk.
“Sampai di lokasi, suspek didapati berada dalam rumah yang berkunci dan usaha anggota memujuknya tidak berjaya kerana suspek bertindak agresif termasuk melibas parang.
“Dalam usaha mempertahankan diri anggota terpaksa melepaskan tembakan sebelum bomba menggunakan pancutan air sehingga berjaya menahan suspek,” katanya.
Sementara itu, jiran suspek, Mohd. Aqif Zamri, 26, berkata, dia tidak menyangka suspek bertindak ganas kerana selama ini dia seorang pendiam dan banyak menghabiskan masa di dalam rumah serta tidak bercampur dengan jiran.
“Kami penduduk sekitar sini juga tidak mengetahui yang dia mengalami masalah mental kerana selama mendiami rumah itu bersama ibu bapanya sejak hampir setahun lalu mereka lebih banyak menyendiri.
“Hanya selepas kejadian itu baru kami tahu dia mengamuk kerana telah lama tidak makan ubat akibat penyakit mental yang dialaminya,” katanya. – UTUSAN