SUNGAI PETANI: Empat anggota polis cedera di beberapa bahagian badan termasuk di kepala akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam kejadian amuk di Taman Seri Astana, di sini petang semalam.
Kejadian membabitkan suspek berumur 32 tahun dan merupakan bekas guru agama itu berlaku kira-kira pukul 3 petang sebelum suspek berjaya ditahan tujuh jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, akibat kejadian itu keempat-empat anggota berumur 30-an hingga 50-an dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk menerima rawatan.
“Dua anggota hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar manakala dua lagi masih berada di wad untuk menerima rawatan lanjut. Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
“Suspek juga disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di HSAH malam tadi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.
Katanya, pihak polis menerima laporan daripada bapa lelaki terbabit petang semalam sebelum beberapa anggota dihantar untuk memujuk.
“Sampai di lokasi, suspek didapati berada dalam rumah yang berkunci dan usaha anggota kita memujuknya tidak berjaya kerana suspek bertindak agresif termasuk melibas parang.
“Dalam usaha mempertahankan diri anggota kita terpaksa melepaskan tembakan sebelum bantuan pihak bomba menggunakan pancutan air berjaya menahan suspek,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara itu, jiran suspek, Mohd. Aqif Zamri, 26, berkata, dia tidak menyangka suspek bertindak ganas kerana selama ini dia seorang pendiam dan banyak menghabiskan masa di dalam rumah serta tidak bercampur dengan jiran.
“Kami penduduk sekitar sini juga tidak mengetahui yang dia mengalami masalah mental kerana selama mendiami rumah itu bersama ibu bapanya sejak hampir setahun lalu mereka lebih banyak menyendiri.
“Hanya selepas kejadian itu baharu kami tahu dia mengamuk dipercayai kerana telah lama tidak makan ubat akibat penyakit mental yang dialaminya,” katanya. – UTUSAN