PETALING JAYA: Status pelakon, Emma Maembong terus menjadi teka-teki dalam kalangan warganet selepas lelaki yang dipercayai kekasihnya, DJ Kidd semakin terbuka berkongsi momen mesra mereka di media sosial.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan bahawa pelakon itu sudah pun berkahwin, bahkan lelaki tersebut turut menggelarnya sebagai ‘isteri’ dalam setiap perkongsian.
“Saya akan jadi suami yang terbaik buat awak,” itu juga merupakan antara kata manis yang dimuat naik oleh DJ Kidd dalam hantaran di media sosial, baru-baru ini.
Namun, empunya badan sendiri, Emma dilihat tenang tidak membuat sebarang perkongsian balas mengenai hantaran tersebut.
Bagaimanapun, ada pula dakwaan yang menyatakan bahawa pelakon drama Takdir Itu Milik Aku tersebut masih memegang status ibu tunggal dan belum berkahwin dengan lelaki berkenaan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Malah, ada juga yang mendakwa deejay tersebut sedang melalui fasa kecewa kerana cintanya ditolak oleh pelakon jelita itu hingga nekad untuk memuat naik video lama di media sosial sekali gus menjadi sorotan ramai.
Biarpun pelbagai spekulasi telah timbul, Emma tetap memilih untuk mengunci mulut dari mengulas mengenai dakwaan tersebut secara terperinci selain membiarkan orang ramai terus berteka-teki tentang statusnya kini.
Sebelum ini, adiknya, Chacha Maembong turut menafikan khabar angin berkenaan selain menyifatkan tuduhan itu bersifat jahat yang diada-adakan untuk mencemarkan imej kakaknya.
Sekadar info, Emma pernah berkahwin dengan Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020, namun bercerai selepas empat tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.
Hasil perkahwinan tersebut, Emma dan Shazli dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel, 3, dan Shakil Aryan Shah, 2.-UTUSAN