KLANG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan jajaran dari Stesen Jalan Kastam Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara dan Barat di sini, akan diubah skop pembinaannya kepada landasan berkembar berbanding landasan tunggal dwi tolok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jajaran sepanjang 25 kilometer (km) itu hanya berakhir di Stesen Jalan Kastam sebelum ini.
Menurut beliau, Kabinet bagaimanapun bersetuju membina landasan berkembar meliputi landasan tolok Standard baharu bagi ECRL dan mengekalkan landasan tolok Meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Perubahan skop itu dijangka memberi impak besar dengan membolehkan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain.
“Ia akan meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo kedua pelabuhan itu secara keseluruhan dan memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import-eksport negara apabila siap sepenuhnya kelak,” katanya pada sidang akhbar peluncuran Malaysia Maritime Single Window di sini, hari ini.
Jelas Anthony, kos pembinaan bagi Seksyen D tidak memerlukan peruntukan tambahan kerajaan dan tidak meningkatkan kos pembangunan keseluruhan projek ECRL.
“Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik projek itu dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama akan mengeluarkan maklumat tender secara terperinci hujung bulan ini.
“Keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan dan berpengalaman dalam industri rel,” ujarnya.
Tambah beliau, jajaran Seksyen D turut memainkan peranan strategik dengan melengkapkan ‘jambatan darat’ dan memastikan kesalinghubungan yang lancar antara yad di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Utara dan Barat.
“Pemindahan cara pengangkutan kargo daripada menggunakan jalan raya kepada rel melalui jajaran Pintasan Serendah-Pelabuhan Klang.
“Jajaran tambahan ke Pelabuhan Utara dan Barat juga akan mengurangkan kesesakan jalan raya, kemalangan dan pencemaran alam sekitar, ” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap Disember tahun depan dan mula beroperasi pada Januari 2027.
“Bagi sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang, ia akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028,” katanya. – UTUSAN