EAIC kecewa Maritim Malaysia kenakan hukuman ringan berbanding syor salah laku pegawai  

EAIC kecewa Maritim Malaysia kenakan hukuman ringan berbanding syor salah laku pegawai  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan terdapat salah laku pegawai memerintah, pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan penularan video yang memaparkan sebuah kapal agensi itu bertambat dengan bot nelayan Zon C yang dikendalikan awak-awak Vietnam di perairan Kelantan pada 7 Julai 2023.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan ini dijalankan berdasarkan aduan yang diterima  mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009  [Akta 700].

 Katanya, hasil siasatan juga mendapati, kapal Maritim Malaysia tersebut telah bertambat dengan bot nelayan Zon C tanpa kebenaran dari kira-kira pukul 8.00 malam hingga 3.40 pagi.

“Kapal Maritim Malaysia didapati telah menghantar laporan Kedudukan, Haluan dan Laju  (KHL) serta Laporan Situasi (LS) yang mengandungi maklumat tidak benar kepada Maritime Operational Command (MOC).

“Borang penggeledahan yang dikeluarkan oleh kapal Maritim Malaysia mengandungi butiran  palsu berkaitan pemeriksaan yang dilakukan terhadap bot nelayan Zon C,” katanya hari ini.

Menurut EAIC, tiada laporan dibuat mengenai insiden melepaskan tembakan semasa  pengejaran bot nelayan asing Vietnam pada 12 Julai 2023.

Katanya, pegawai dan anggota kapal Maritim Malaysia didapati telah bertambat sebanyak dua kali dengan bot nelayan Zon C serta terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan  memancing ikan, yang menimbulkan persepsi negatif dan mencemarkan imej  pasukan.

Justeru, atas salah laku tersebut, EAIC memutuskan dengan mengesyorkan hukuman di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai  Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] kepada Pihak Berkuasa  Tatatertib (PBT) Maritim Malaysia bagi tujuan tindakan disiplin terhadap Pegawai  Memerintah termasuk turun pangkat atau buang kerja.

EAIC turut mengesyorkan hukuman di bawah Peraturan 36 P.U. (A) 395/1993 terhadap  pegawai dan anggota kapal Maritim Malaysia bagi tindakan disiplin selain daripada turun  pangkat atau buang kerja.

“Pegawai Siasatan EAIC telah membuat laporan polis berhubung pengeluaran  borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan pihak Polis Diraja  Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek  jenayah komersial,” katanya.

EAIC memaklumkan, Ppada 15 Januari lalu, EAIC menerima maklum balas daripada Maritim Malaysia mengenai tindakan yang telah diambil terhadap syor EAIC tetapi  PBT Maritim Malaysia tidak mengikut syor hukuman EAIC.

Sebaliknya, Maritim Malaysia memutuskan bahawa Pegawai Memerintah  kapal Maritim Malaysia dikenakan hukuman denda (jumlah tujuh hari emolumen), manakala pegawai  dan anggota lain didapati tidak bersalah kerana bertindak mengikut arahan Pegawai  Memerintah sahaja.

“EAIC amat kecewa dengan keputusan hukuman PBT APMM kerana EAIC berpendapat  hukuman yang dikenakan adalah bersifat terlampau ringan dibandingkan dengan salah laku oleh Pegawai Memerintah, Pegawai dan anggota kapal APMM tersebut yang tidak  mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas.

“EAIC komited dalam memastikan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan agensi penguatkuasaan demi menjaga kepercayaan masyarakat terhadap sistem penguatkuasaan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya