BUTTERWORTH : Dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan dan memiliki senjata api secara haram pada Januari lalu.
Tertuduh, Zulkarnaini A. Rahman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya manakala Husaini, 22, yang berdepan satu pertuduhan pula meminta untuk dibicarakan.
Kedua-duanya membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah berdagang senjata api iaitu dua pucuk pistol jenis Glock, pistol jenama Sig Sauer (1), pistol jenis Smith & Wesson (1) dan selaras raifal M4 Carbine Caliber di kedudukan latitud 05.3655830N longitud 100.3627220E perairan laut Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada pukul 3.10 petang, 27 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zulkarnaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer di lokasi dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Ashiqeen Mohd Sultan manakala pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana kes ini tergolong dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mac depan. – UTUSAN