PETALING JAYA: Polis percaya dua suspek yang dipercayai menembak mati pegawai kanan pihak berkuasa Thailand berkemungkinan tidak berada di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Polis Thailand berkenaan kes tersebut.
“Kita bertindak (siasat) berdasarkan laporan berita yang dilaporkan media kerana tidak mahu penjenayah dari sana (Thailand) masuk ke sini.
“Kemungkinan kedua-dua mereka tidak berada di negara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Apresiasi Op Selamat 23 di Persada PLUS di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya sentiasa memperkatatkan kawalan keselamatan di pintu sempadan serta jalan-jalan tikus berhampiran Sungai Golok, Kelantan.
Beliau berkata, ini bagi menangani isu ketirisan barang kawalan daripada diseludup masuk dan keluar.
“Ini termasuk pangkalan haram atau jalan-jalan tikus menjadi tempat mereka menyeludup.
“Sehingga ini, rampasan kirq-kira RM400,000 di Sungai Golok dalam masa dua bulan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” ujar beliau.
Pada 24 Januari lalu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.
Suspek dikenali sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.
Razarudin dilaporkan berkata, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.
Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.– UTUSAN