KUALA KRAI: Hajat sepasang suami isteri untuk menghadiri majlis kenduri di Machang dekat sini tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki bersama dua rakan bertembung sebuah lori di Kilometer 107, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, seorang lelaki iaitu pemandu kereta jenis Perodua Axia dan seorang wanita iaitu rakan kepada suami isteri itu yang berada di tempat penumpang belakang kereta tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, isteri kepada pemandu itu yang berada di tempat duduk penumpang depan dan rakannya duduk tempat duduk belakang cedera parah sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki keempat-empat mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.
“Pada masa sama, sebuah lori jenis Isuzu yang berada di laluan Kuala Krai – Gua Musang disyaki terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan lori tersebut bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu sebelum merempuh sebuah lagi kereta jenis Honda City yang dipandu seorang wanita,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mazlan memberitahu, pemandu kereta dan salah seorang penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal turut mendapati, keempat-empat mangsa sedang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis kenduri di Machang dekat sini dan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Razani Mamat berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.50 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mendapati pemandu dan penumpang depan kereta jenis Perodua Axia tersepit. Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan menyelamat.
“Pemandu kereta jenis Honda City dan pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” ujarnya. – UTUSAN