SUNGAI PETANI: Seorang pengusaha pusat cuci kereta dan rakannya yang merupakan pengait buah kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan memiliki diesel tanpa lesen, tahun lalu.
Tertuduh, R. Vincent, 41, dan Mohd. Suhaimy Abd. Talib, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 27,000 liter diesel dalam lori tangki; 2,100 liter diesel dalam dua tangki IBC dan satu tong dram pada sebuah lori lain dan 800 liter diesel lagi ditemui dalam tangki IBC dalam sebuah lori.
Jumlah keseluruhan 29,900 liter diesel itu dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 392 Batu 1, Bedong, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 16 April 2024.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Nizam Amir, sementara Vincent diwakili peguam S. Sagthiyaraj dan Mohd. Suhaimy diwakili Rafizi Nordin.
Kedua-dua peguam merayu mahkamah mengenakan denda yang rendah selepas Muhammad Amir mencadangkan jumlah denda yang tinggi disebabkan kesalahan yang serius.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 untuk setiap seorang dan tarikh 10 Mac untuk sebutan semula kes. Kedua-dua tertuduh menjelaskan wang jaminan itu. – UTUSAN