PARIT: Dua pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus Sungai Perak dekat Kampung Tepus, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.21 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola.
“Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan bot aluminium.
“Penduduk kampung menggunakan bot nelayan turut membantu operasi pencarian di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi pencarian itu akan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Pulau Pangkor yang telah digerakkan ke lokasi.
“Keadaan cuaca ketika ini mendung dengan arus air sungai deras. Setakat pukul 6.30 petang, kedua-dua mangsa belum dijumpai,” katanya. – UTUSAN