PETALING JAYA: Dua pegawai polis berpangkat inspektor dan koperal ditahan pada 22 Februari lalu bagi membantu siasatan berhubung satu kes kecurian wang tunai membabitkan kerugian sebanyak RM300,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan ke atas kedua-dua pegawai berkenaan yang masing-masing berusia 44 dan 34 tahun.
“Kedua-duanya direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dipohon pada 23 Februari lalu dan telah dibenarkan reman selama satu hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Kami (polis) memandang serius kejadian itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – UTUSAN