Dua menteri besar berdamai

Dua menteri besar berdamai – Muhammad Sanusi mohon maaf

AMIRUDIN Shari (kanan) dan Muhammad Sanusi Md. Nor hadir ke prosiding dekat Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tuntutan saman RM10 juta difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selesai di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Penyelesaian itu dicapai apabila Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Jeneri itu membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam kamar mahkamah sebagai salah satu terma penyelesaian kes saman berhubung kenyataan berunsur fitnah me­ngenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Hakim Rozi Bainun memutuskan demikian selepas persetujuan antara kedua-dua pi­hak dan menerima surat permohonan maaf oleh Muhammad Sanusi kepada Amirudin sebagai plaintif.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan maaf Mohamad Sanusi di­siarkan kepada umum dan hanya direkodkan di mahkamah sahaja.

Terdahulu, Peguam Mohd. Haijan Omar mewakili plaintif memaklumkan pihak-pihak mencapai kata putus serta bersetuju memasukkan penghakiman persetujuan kepada mahkamah.

Persetujuan itu berdasarkan terma permohonan maaf secara terbuka di mahkamah pada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan semalam.

“Defendan memberi akujanji tidak akan menerbitkan, membantu, mengulangi dan menyebabkan diterbitkan kata-kata seakannya pada masa depan. Persetujuan dan terma atas penyelesaian penuh dan muktamad antara plaintif dan defendan. Selain itu, tiada kos dalam penghakiman persetujuan ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusof mewakili defendan tidak membantah.

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor pada 30 Ogos 2023 memfailkan notis tuntutan kepada Muhammad Sanusi berhubung fitnah berkenaan pemberian tanah kepada sebuah syarikat swasta.

Menurut ADUN Sungai Tua itu, Muhammad Sanusi dituntut menarik balik kenyataan fitnah­nya, membuat permohonan maaf dan menjamin fitnah tidak berulang selain ganti rugi RM100 juta.

“Saya menuntut supaya Muhammad Sanusi melakukan perkara itu dalam tempoh 48 jam. Beliau juga perlu membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan institusi Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Saman tersebut dikemukakan apabila Muhammad Sanusi mendakwa Amirudin mempunyai skandal melibatkan Pe­ngasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dengan memfitnahnya menyerahkan tanah seluas 243 hektar di Selangor kepada tokoh konglomerat itu.

Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bakal mengalami kerugian sehingga RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya