TANGKAK: Dua pekerja maut manakala tujuh lagi cedera parah apabila sebuah mesin meletup di kilang pembuatan dan pemprosesan getah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, dua mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu adalah warga tempatan, manakala mangsa yang cedera masing-masing seorang warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar serta empat lagi rakyat tempatan.
“Hasil siasatan awal, melibatkan sebuah mesin yang meletup di sebuah kilang pembuatan dan pemprosesan getah. Ketika kejadian, dua pekerja sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas mesin tersebut.
“Ketika melakukan kerja penyelenggaraan ke atas lima mesin yang beroperasi, salah sebuah daripada mesin tersebut telah meletup dan mengakibatkan sembilan pekerja tersebut telah tercedera parah.
“Mangsa pertama merupakan warga tempatan, telah dibawa ke Hospital Tangkak dan disahkan meninggal dunia, manakala mangsa kedua juga warga tempatan telah dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia kemudiannya.
“ Kedua-dua mangsa yang maut adalah berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tujuh mangsa yang lain kini menerima rawatan di Hospital Muar. Proses bedah siasat ke atas mangsa yang maut dijalankan pagi ini.
Beliau dalam pada itu meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kes itu disiasat sebagai mati mengejut. – UTUSAN