PORT DICKSON: Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta Perodua Myvi dalam kejadian di Kilometer 27.2 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini hari ini
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi itu pemandu kereta berusia 21 tahun
dan penumpang bahagian belakang berusia 20 tahun maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Seremban menghala ke Port Dickson telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori tangki dipandu lelaki berusia 57 yang berada pada arah sama.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang bahagian belakang kereta maut manakala penumpang bahagian hadapan mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Mohamad Mustafah berkata, pemandu lori tangki bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Port Dickson dan nayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN